Assalam..
Semalam 7 Rejab. Tarikh yang sangat bermakna bagi saya. Tarikh yang sangat memberi erti pada saya setahun yang lalu. Pada tarikh ini lah segala kemuncak debaran, tangisan dan bebanan yang maha besar terlerai. Hari yang cukup indah, cukup beremosi, cukup menyesakkan jiwa, dan cukup membahagiakan. Pada hari ini lah saya terikat dengan rasmi dan halalnya, menjadi sebahagian dari hidup seorang lelaki bernama Mohd Fauzi Mohd Yusof. Tanpa disedari, sudah setahun kami bergelar suami isteri. Baru setahun jagung. Masih bertatih, masih baru mengenal dunia perkahwinan. Jujurnya, masih belajar dan belajar untuk saling memahami. Masih belum mampu mencapai tahap isteri mithali. Masih pincang sana sini. Masih bergaduh bermasam muka. Masih mencari titik persamaan dan persefahaman. Namun haruman bahagia yang kami hidu di hari pertama pernikahan masih lagi sama wanginya. Alhamdulillah. Adatlah dalam rumahtangga yang masih muda ini, tergigit sana sini, terluka kanan kiri, tercalar depan belakang. Adatlah. Terlalu awal untuk di nilai tahap bahagia itu dengan usia yang setahun ini.
Setahun ini banyak benar mengajar suami isteri ini tentang kehidupan berumahtangga. Tentang keluarga yang sedang di bina. Betapa hanya dengan tinggal serumah, berkongsi tilam dan bantal, berkongsi rasa susah dan senang, baru lah kita mengenal siapa orang yang kita nikahi. Lain benar waktu bercinta. Terbongkar segala baik buruk yang menuntut kepada tolak ansur dan terkadang memendam rasa yang tidak sedikit. Pengalaman sendiri, awal2 bulan perkahwinan, memang terlalu banyak konflik yang harus ditangani. Berlainan pendapat, berlainan cara, berlainan prinsip yang membawa kepada pertengkaran, masam muka dan tangisan yang berlarutan. Pernah sampai ke tahap ayah memujuk saya bagai anak kecil yang menangis teresak2 untuk pulang dan berbaik dengan suami. Mujur suami banyak mengalah, banyak bertolak ansur, banyak memberi ruang. Dan mujur atas dasar 'baru kahwin', pergaduhan yang panjang berlalu bagai angin. Mood pengantin baru sangat membantu. Dan masa yang mula pantas berlari memberi ruang dan peluang untuk suami isteri ini mengadaptasi cara masing2, bertolak ansur, cuba menyintai dan menerima kelemahan masing2. Peringatan tentang betapa berliku dan berdurinya jalan yang kami lalui untuk bersatu menjadi senjata untuk melemahkan rasa marah dan sakit hati yang meruap2 dikala saat2 genting melanda. Ye, kami tidak direzekikan untuk melalui jalan yang mudah dan senang untuk bernikah. Menoleh ke belakang, sakit dan perit itu masih berbekas, masih terasa. Sampai ke hari ini, terlalu dalam jurang dan terlalu tinggi tembok yang saya bina antara mereka dan saya. Biarlah saya kekal 'invisible' dalam kehidupan mereka, kerana mereka tak pernah saya anggap wujud dalam hidup saya.
Alhamdulillah, untuk setahun ini kami masih survive. Masih bahagia, masih bergelak ketawa walau sekali sekala tercuit, tercalar dan terluka jiwa. Setiap hari pun masih belajar untuk bertolak ansur. Masih belajar menerima sisi 'gelap' si suami, kerana suami begitu terbuka menerima sisi 'gelap' si isteri. Esok lusa, itu rahsia Allah. Apa pun yang terjadi esok lusa, tetap rahsia Allah. Cuma mampu berdoa semoga rasa cinta, rasa bahagia, rasa segala macam ini berterusan sampai bila2. Semoga hidup kami terus dilimpahi rahmat, terus mekar dengan gelak ketawa yang bahagia. Syukur juga dengan rezeki yang semakin membesar dalam rahim ini. Penyumbang utama bahagia suami isteri ini, untuk masa ini. Semoga rezeki ini milik kami. Amanah dari Allah untuk kami.
p/s: sengaja sambut anniversary ikut bulan Islam, nak muliakan bulan Islam. Kalau ikut masihi, 9 jun ni baru genap setahun. Motif?Boleh sambut anniversary 2 kali. haha.
No comments:
Post a Comment